Saturday, March 12, 2011

SyARAhan 'Al-Quran dan As-Sunnah Teras pendidikan Bestari'

     Assalamualaikum dan salam sejahtera. Kalungan apreasiasi buat pengerusi majlis, barisan panel hakim intelek, berkarisma, konstruktif pemikirannya. Guru-guru pemangkin perubahan generasi minda kelas pertama seterusnya rakan-rakan seprjuangan yang beriman lagi budiman. salam ukhuwah syarahan saya sampaikan. Kini tibalah giliran saya pula untuk menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk 'Al-Quran dan As-Sunnah Teras Pendidikan Bestari'.

     Pendidikan bestari merujuk kepada pendidikan yang mencakupi keperluan hidup dunia dan akhirat yang sesuai dengan peradaban zaman. Persoalannya disini, mengapa Al-Quran dan As-Sunnah yang dijadikan teras pendidikan bestari?.

          Sidang pendengar yang budiman,,
     Setelah kewafatan Nabi Muhammad SAW, baginda telah meninggalkan panduan kepada umat Islam iaitu Al-Quran sebagai risalah Illahi dan contoh kehidupan untuk setiap umatnya dalam bentuk As-Sunnah.

     Al-Quran seperti yang diketahui oleh setiap umat Islam merupakan mukjizat Islam yang paling unggul mengandungi ilmu pengatahuan yang yakin dan jitu serta tidak ada percanggahan didalamnya. Menurut seorang doktor perubatan, Maurie Bucaille, beliau tidak menjumpai satu kesalahan pun dalam Al-Quran tetapi terdapat kesalahan yang amat ketara dalam Bible, dalam bukunya 'The Bible, The Quran and Science' pada tahun 1978.

     As-Sunnah adalah sumber hukum Islam yang menjadi pedoman hidup kaum muslimin yang kedua setelah Al-Quran. Dalam hubungannya dengan Al-Quran, As-Sunnah berfungsi sebagai penafsir dan penjelas ayat-ayat tertentu. Bagi mereka yang telah beriman dengan Al-Quran, secara otomatis mereka harus percaya bahawa As-Sunnah sebagai sumber Islam yang kedua. seperti dalam surah 'Al-Anfal yang bermaksud, "Setiap mukmin harus percaya kepada Allah dan Rasulnya".

          Sidang hadirin sekalian,,
     Tirai syarahan ini saya singkap dengan mengutarakan hujah pertama dibawah kata kunci, Al-Quran pencentus kepada perkembangan segala cabang ilmu yang diterokai oleh manusia, baik dari zaman dahulu hinggalah ke masyarakat moden hari ini.

     Dari Al-Quran berkembanglah ilmu-ilmu seperti Fizik, Matematik, Geologi, Perubatan, Astronomi dan sebagainya. Saya mengambil contoh dari surah Al-Anbiya' ayat 30. Ayat tersebut menjelaskan bahawa langit dan bumi asalnya adalah satu bahagian, kemudian dipisahkan antara keduanya secara beransur-ansur. Maka terjadilah daripadanya langit dan bumi yang mengelilingi matahari. Sesungguhnya ayat-ayat ilmiah yang menjadi mukjizat Al-Quran terbukti kejadiannya pada hari ini.

          Hadirin Sekalian,,
     Isi syarahan saya yang kedua di bawah premis Al-Quran sebagai sumber pendidikan kepada akidah manusia. Sebagai suatu ekspresi wahyu, di dalam Al-Quran terkandung beberapa ayat mengenai alam semesta yang mendorong manusia untuk berfikir tentang fakta yang di nyatakan. Sains moden telah mendapati semua unsur-unsur dan mahluk baik yang besar sehinggalah yang amat seni mempunyai pasang-pasangan.


     Seperti dalam surah Yasin ayat 36,
36:36
Yang bermaksud, Maha suci Allah yang telah mencipta berpasang-pasangan semuanya baik dari apa yang ditumbuhkan dari bumi dan dari mereka, mahupun apa yang mereka tidak ketahui. Terbuktilah bahawa segala ciptaan Allah, seperti yang dinyatakan dalam Al-Quran. Jika diteliti sedalam-dalamnya akan membawa kepada pengakuan bahawa Allah itu adalah Pencipta yang Maha Bijaksana.

          Hadirin dan Hadirat Sekalian,,
     Sebagai pengorak langkah untuk mencapai tahap pendidikan bestari, seseorang insan itu perlu memiliki kemantapan dari segi rohaniah terlebih dahulu. Maka, sebagai kata kunci saya yang ketiga, Al-Quran dan As Sunnah sebagai sumber kepada perkembangan rohaniah.

     Hanya orang mukmin yang beriman dan yang mahu berfikir sahaja mengatahui hikmat diturunkan Al-Quran dan keistimewaannya dari segala kitab.Huruf dan kalimahnya menimbulkan kelazatan pendengaran yang tidak jemu-jemu. Maknanya membangkitkan hati, membukakan fikiran untuk menerima ilmu serta mengubah persepsi insan ke arah mencari keredhaan ALLAH.

          Para pendengar budiman lagi beriman,,
     Kata kunci saya keempat, Al-Quran dan As-Sunnah sebagai sumber perkembangan jasmani. Kekuatan jasmani manusia sebenarnya berpunca daripada kekuatan jiwanya. Jiwa hanyalah pelengkap kepada kewujudan konkrit jasmani manusia dan jasmani diibaratkan sebagai kenderaan kepada roh manusia. Jiwa yang sakit berpenjangan akan mempengaruhi kesihatan jasmani.

     Jika kita renungkan, kemantapan rohani dan kekuatan jasmani yang telah disebutkan daripada dua kata kunci tadi sangat berkait rapat kepada hubungan seseorang itu dengan Al-Quran dan sejauh mana penghayatannya dengan sunnah Rasulullah dalam kehidupan seharian. Dalam hadis Ibn mas'ud ada menyatakan pada zaman sahabat pengajaran Al-Quran dan penerapan amalan Rasulullah dalam kehidupan seharian sanagt mempengaruhi jiwa, rasa kasih sayang yang meresap ke lubuk hati. Mereka gemar memanjangkan solat hingga terpancarlah keperibadian serta akhlak muslim yang berteraskan Al-Quran dan Sunnah, baik dari segi pertuturan mahupun perbuatan.

          Sidang hadirin yang dimuliakan,,
     Kata kunci saya yang kelima mengutarakan tentang peranan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai sumber pendidikan ibadah. As-Sunnah berperanan sebagai sumber pendidikan yang menjadi pedoman kaum muslimin. Apabila sunnah tidak berfungsi sebagai sumber hukum, maka kaum muslimin akan mendapat kesulitan dalam hal-hal ibadah seperti cara solat, kadar ketentuan zakat, cara haji, hukum-hakam sembelihan, maumalat dan sebagainya. Hal ini dapat diperjelaskan dalam hadis Rasulullah yang berbunyi: 
"shollukama ra'aitumuni usholli" 
yang membawa maksud: "solatlah kamu sebagaimana kamu melihatku solat" adalah tafsiran dari ayat Al-Quran yang menyarankan agar umat Islam menunaikan solat mengikut cara yang dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W.

          Sidang pendengar,,
     Demikianlah kehebatan kitab Al-Quran, mutiara segala hikmat dan kekuatan sunnah Rasulullah yang dibekalkan kepada umat Islam. Tidak dapat disangkal lagi Al-Quran dan As-Sunnah teras kepada pendidikan bestari. Intipati Al-Quran menyentuh semua aspek dalam bidang pengetahuan, menjadi asas kepada perkembangan segala cabang ilmu, pendidik kepada akida insan, pendidik rohaniah dan jasmaniah serta tidak ketinggalan menjadi pedoman insan dalam urusan ibadah seharian.

     Sebagai penutup tirai, terdetik dari dalam hati saya untuk mengajak diri saya sendiri dan juga hadirin sekalian, marilah kita bersama-sama berusaha untuk memahami Al-Quran dan menghayati keseluruhan kehidupan Rasulullah S.A.W sebagai pelajaran dan pembelajaran berharga dalam hidup kita, sama ada sebagai muslim atau warga Malaysia.

          Sekian, terima kasih.

2 comments:

  1. Assalamu'alaikum, saya minta izin untuk ambil beberapa isi daripada perkongsian ini untuk syarahan saya ya, jzkk :)

    ReplyDelete